Pengalaman Menginap di Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur, Syoknya Ada Kolam Renang Dalam Bilik!


Hotel dengan kolam renang di dalam bilik? Omg.. sign me up! Mana lagi nak dapat hotel yang menawarkan kemudahan kolam renang dalam bilik kalau bukan dari hotel di bawah rangkaian Lexis? Terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur dan berhampiran dengan KLCC, Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur ini menawarkan pengalaman penginapan yang elegan dan penuh keselesaan. Jika anda merancang percutian mewah atau ingin mencari tempat penginapan untuk berehat dengan keluarga, berikut adalah ulasan peribadi saya mengenai hotel ini.

Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur


Lokasi yang strategik

Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur terletak di kawasan pusat bandar yang sangat strategik. Ia berhampiran dengan pusat beli-belah utama seperti Suria KLCC, Pavillion, TRX dan banyak lagi. Ini menjadikannya pilihan ideal untuk pelancong yang ingin menikmati pengalaman membeli-belah tanpa perlu berjalan jauh. Sekiranya anda merancang untuk pergi ke KLCC, anda cuma perlu berjalan kaki sedikit sahaja dan akan tiba ke kawasan taman KLCC yang penuh dengan kehijauan. Selain itu, akses kepada pengangkutan awam seperti LRT dan MRT juga sangat meluas, memudahkan perjalanan ke destinasi lain di sekitar Kuala Lumpur.



Kemudahan dan kemewahan bertaraf dunia

Semestinya tarikan utama hotel ini adalah kemudahan yang serba mewah. Setiap bilik dilengkapi dengan kolam renang peribadi, menjadikannya pengalaman yang unik berbanding hotel lain di sekitar KL. Kolam renang ini memberikan peluang untuk bersantai dalam privasi tanpa perlu berkongsi dengan tetamu lain. Anak-anak sangat seronok dapat bermandi-manda di kolam renang peribadi dalam bilik, manakala saya pula bebas untuk mandi tanpa perlu mengenakan tudung. Tambahan pula, kami boleh mandi sesuka hati tanpa mengira masa di kolam renang yang terletak di bahagian balkoni ini.

Mesti ada yang tertanya-tanya tentang aspek keselamatan kolam renang di bilik, apatah lagi untuk keluarga yang mempunyai anak kecil kan? Jangan risau, kerana kolam renang tersebut terletak di luar bilik, dan untuk anda mengakses ke bahagian itu terdapat sliding door yang dilengkapi dengan 2 kunci. Satu kunci di ketinggian biasa, manakala terdapat satu lagi kunci yang dipasang mengikut ketinggian orang dewasa demi memastikan keselamatan kanak-kanak. Paling penting, kita sebagai ibu-bapa perlulah selalu berpesan dan bertegas kepada anak-anak supaya hanya gunakan kolam renang tersebut ketika di bawah pengawasan orang dewasa sahaja.

Selain itu, hotel ini juga menawarkan spa bertaraf dunia, pusat kecergasan yang lengkap seperti gym dan bilik sauna, serta pelbagai pilihan restoran yang menyajikan hidangan antarabangsa dan tempatan. Anda boleh menikmati makanan yang lazat sambil menikmati pemandangan menakjubkan bandaraya Kuala Lumpur.

Namun, jangan dilupakan satu lagi tarikan menarik yang terdapat di Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur ini, iaitu Skydeck yang terletak di tingkat 51. Suami dan anak-anak sangat teruja ketika berada di Skydeck ini kerana ada bahagian lantai lutsinar yang membolehkan mereka melihat pemandangan di bawah. Sorrylah, tapi saya memang tak berani nak pijak lantai tersebut, rasa gayat dan juga mungkin disebabkan faktor usia. 😜


Bilik yang luas dan selesa

Reka bentuk bilik di Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur benar-benar mengagumkan. Setiap bilik adalah sangat luas dan direka dengan sentuhan moden dan elegan. Katilnya sangat selesa, dan ruang tamu yang luas memberikan rasa seperti berada di rumah sendiri. Pemandangan dari bilik juga tidak mengecewakan, terutamanya bilik menghadap KLCC yang menawarkan pemandangan ikonik menara berkembar Petronas.

Langsir yang digunakan juga agak canggih, di mana anda hanya perlu menekan butang untuk membuka atau menutup langsir. Wah, masa di sana tu serius rasa macam orang kaya bila buka langsir main tekan-tekan butang je hahaha. Selain daripada itu, di dalam peti ais juga disediakan complimentary drinks & snacks yang agak banyak seperti minuman bergas, coklat & juga kuih dari jenama Lexis. Sedap juga biskut perisa gula melaka kalau tak silap, tapi biasalah benda percuma mestilah sedap kan 😆


Layanan pelanggan yang cemerlang

Dari saat anda melangkah masuk ke lobi hotel, anda akan disambut dengan senyuman mesra daripada kakitangan hotel. Layanan yang diberikan benar-benar bertaraf lima bintang. Kakitangan hotel sangat membantu dan pantas dalam memenuhi keperluan tetamu. Sebarang pertanyaan atau permintaan dilayan dengan profesionalisme yang tinggi.

Persekitaran hotel juga sangat mewah ditambah pula dengan bau-bauan pewangi yang tenang dan menyegarkan di setiap ceruk hotel, memang terasa berbaloi duit yang dilaburkan untuk menginap di hotel ini. Tandas tetamu di bahagian reception juga tak kurang mewahnya dan sangat bersih


Harga yang berpatutan untuk pengalaman mewah

Walaupun hotel ini berada dalam kategori mewah, harga yang ditawarkan masih berpatutan memandangkan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan. Anda boleh mendapat pengalaman penginapan yang mewah tanpa perlu berbelanja terlalu besar.


Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur adalah pilihan yang tepat bagi mereka yang mencari penginapan mewah di Kuala Lumpur. Dari lokasi strategik hingga kemudahan bertaraf dunia, hotel ini menawarkan pengalaman penginapan yang tiada tandingan. Sama ada untuk percutian bersama keluarga, bulan madu, atau percutian solo, hotel ini pasti tidak akan mengecewakan.

Adakah saya akan kembali? Sudah tentu! Hotel ini pasti akan berada di senarai pilihan saya untuk penginapan seterusnya di Kuala Lumpur.