Jika anda pernah bermain permainan video Mario, bayangkan bagaimana rasanya memandu go-kart sebenar sambil menyelusuri jalan-jalan sekitar bandar Osaka, Jepun. Pengalaman unik ini menjadi salah satu aktiviti popular di kalangan pelancong di Jepun, dan saya berpeluang untuk mengalaminya sendiri!
Apa itu Mario Kart?
Aktiviti ini diinspirasikan daripada permainan video terkenal, Mario Kart, di mana anda boleh memandu kereta go-kart di jalan-jalan sekitar Osaka. Walaupun ia bukanlah versi rasmi dari Nintendo, aktiviti ini tetap menyeronokkan kerana anda boleh memakai kostum watak-watak kegemaran seperti Mario, Luigi, dan Yoshi. Tambahan pula, anda memandu melalui kawasan ikonik di Osaka sambil menikmati suasana bandar yang hidup.
Persediaan sebelum memandu
Untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ini, ada beberapa perkara penting yang perlu anda sediakan. Pertama sekali, selain daripada physically fit, semestinya anda wajib mempunyai lesen memandu dan juga permit memandu antarabangsa(IDP) yang sah. Tanpa dokumen-dokumen ini, anda tidak akan dibenarkan untuk memandu go-kart di jalan raya.
Permohonan untuk permit memandu antarabangsa boleh dilakukan di mana-mana kaunter JPJ di mana tempoh sah permit hanyalah 1 tahun dan kadar bayaran yang dikenakan adalah RM150, jangan lupa bawa 2 keping gambar berukuran passport. Pada mulanya saya ingin membuat permit ni di JPJ Padang Jawa, namun oleh kerana terlalu ramai pelanggan pula pada hari itu, saya mengambil keputusan untuk melakukan urusan tersebut di UTC Shah Alam. Mudah & pantas!
Anda juga perlu membuat tempahan terlebih dahulu kerana aktiviti ini sangat popular dan slot sering penuh, kami membuat tempahan sehari lebih awal melalui aplikasi Klook. Kami memilih servis dari Akiba Kart Osaka yang terletak di Nipponbashi, Naniwa Ward.
Setibanya di lokasi, anda akan diberikan taklimat keselamatan ringkas serta arahan bagaimana mengendalikan kart tersebut. Ia bukanlah go-kart biasa – go-kart ini mampu mencapai kelajuan yang agak tinggi, jadi keselamatan menjadi keutamaan. Ini bukanlah go-kart berkelajuan siput yang anda main di Genting Highlands di bawah rollercoaster tu, siapa yang membesar zaman 90-an mesti tahu apa yang saya maksudkan hahaha.
Sebaik sahaja berada di dalam go-kart, saya mula terasa betapa seronoknya pengalaman ini. Dengan memakai kostum dinosaur manakala suami saya pula menyamar sebagai Pikachu dengan pilihan kostumnya, kami memandu melalui kawasan-kawasan ikonik di Osaka seperti Dotonbori, Namba, dan Osaka Castle. Pemandangan di sepanjang jalan sangat memukau, dan orang ramai sering melambai serta mengambil gambar ketika melihat kami memandu dengan kostum watak-watak dari permainan video. Sungguh menggelikan hati bila diingat kembali. 😆
Memandu go-kart di jalan raya sebenar memberikan satu pengalaman yang sangat unik. Ia tidak seperti bermain di skrin – kali ini, anda betul-betul mengendalikan go-kart di dunia nyata! Selain itu, kumpulan kami dipandu oleh seorang instructor berpengalaman yang memastikan keselamatan sepanjang perjalanan. Tidak perlu risau tersesat atau melanggar undang-undang jalan raya.
Seronok tapi selamat
Walaupun ia kelihatan seperti aktiviti berisiko, keselamatan amat dititikberatkan. Menurut kata instructor kami, mereka tidak pernah langsung mengalami kemalangan sejak 2 tahun lepas. Sebelum memulakan perjalanan, anda akan dilengkapi dengan walkie talkie, dan kart dilengkapi dengan lampu dan indikator untuk mematuhi undang-undang jalan raya Jepun. Anda juga diberi taklimat bagaimana untuk berinteraksi dengan kenderaan lain di jalan raya, dan kart tersebut mempunyai batas kelajuan yang selamat.
Tips untuk pengalaman terbaik
1. Bawa action camera – Anda pasti ingin mengabadikan momen-momen menarik ketika memandu di sekitar Osaka. Sesetengah operator juga menyediakan perkhidmatan untuk mengambil gambar sepanjang perjalanan.
2. Tempah slot pada waktu petang/malam – Apabila anda memilih slot petang/malam, anda akan dapat pengalaman best of both worlds kerana pada waktu petang gambar yang terhasil akan lebih cantik kerana suasana masih terang. Manakala pada waktu malam, cuaca lebih sejuk dan Osaka adalah sangat indah dengan lampu neon yang terang. Pemandangan di Dotonbori pada waktu malam pastinya memberikan pengalaman visual yang memukau.
3. Pakai kostum yang menyeronokkan – Walaupun anda boleh memilih untuk tidak memakai kostum, aktiviti ini akan menjadi lebih menyeronokkan jika anda berani bergaya sebagai Mario, Peach, atau Donkey Kong! Sportinglah sikit..
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, boleh saya katakan pengalaman memandu Mario Kart di Osaka adalah highlight of the whole trip to Osaka yang tidak dapat dilupakan. Ia menggabungkan elemen keseronokan dari permainan video dengan keunikan budaya Jepun. Jika anda merancang untuk melawat Osaka, aktiviti ini wajib dimasukkan dalam senarai aktiviti percutian anda. Bukan sahaja ia memberikan kenangan manis, tetapi juga peluang untuk melihat Osaka dengan cara yang luar biasa dan menyeronokkan! Cubalah, pasti anda tak akan menyesal!