(Review) Richmond Hotel Narita, Narita, Jepun



Narita. Kebiasaannya pelancong Malaysia tidak akan memasukkan destinasi ini sebagai salah satu lokasi yang wajib dituju apabila berkunjung ke Jepun. Namun sekiranya anda terbang ke Jepun dengan Malaysia Airlines, sudah semestinya anda akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita. Seperti KLIA yang berada di Sepang dan agak jauh daripada Kuala Lumpur, begitu juga dengan Narita yang berada agak jauh daripada Tokyo.

Oleh kerana waktu penerbangan pulang saya ke Malaysia dengan Malaysia Airlines pada jam 10.20 pagi, jadi adalah lebih baik sekiranya saya sudah berada di Narita daripada bergegas sekitar jam 6.00 pagi daripada Tokyo pada hari kejadian. Saya telah memilih Richmond Hotel Narita sebagai hotel persinggahan sehari sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Lokasi daripada Lapangan Terbang Narita ke Hotel Richmond sekitar 20 minit dan jangan risau kerana terdapat perkhidmatan bas perantara dari lapangan terbang ke hotel ini dan sebaliknya. Ketika daftar masuk ke hotel, maklumkan kepada pekerja hotel bahawa kita memerlukan perkhidmatan bas shuttle pada pagi keesokkannya untuk ke lapangan terbang dan kupon diberikan kepada kita. Kupon ini kerana ia perlu diberikan kepada pemandu sebelum menaiki bas.

Antara perkara saya suka dengan hotel ini:

  1. Agak luas berbanding hotel lain di Jepun.

  2. Terdapat bas perantara yang menghubungkan hotel dan lapangan terbang.

  3. Katil yang selesa.

  4. Tandas dengan pemanas punggung (sangat berguna ketika musim sejuk).

  5. Mesra kanak-kanak.
Sekiranya masa berada di Narita lebih panjang, kita boleh terokai apa yang ditawarkan di Narita. Oleh kerana masa yang suntuk, kebanyakan masa dihabiskan di hotel sahaja. Sudah memadai jika sekadar menjadi hotel persinggahan kerana lokasi yang berdekatan dengan lapangan terbang. Mungkin trip seterusnya saya akan meluangkan masa di sini lagi siapa tahu?

Tips: Jangan hilangkan kupon bas perantara yang anda terima semasa daftar masuk. Sekiranya hilang, pemandu bas tidak akan membenarkan anda naik walaupun bas kosong. Satu hal pula terpaksa keluarkan kos tambahan untuk menaiki keretapi atau teksi untuk ke lapangan terbang.