Mandarin Oriental adalah di antara salah satu hotel mewah lima bintang di bawah jenama Mandarin Oriental Hotel Group. Sehingga sekarang, rangkaian hotel ini mempunyai 41 cawangan meliputi 27 buah negara di serata dunia termasuklah Malaysia dan Singapura.
Mandarin Oriental Singapura merupakan antara hotel terbesar di dalam rangkaian Mandarin Oriental Hotel Group dengan 527 buah bilik dan suite. Terletak di Marina Centre, hotel ini memiliki enam buah restoran, dua bar, spa, gimnasium dan juga dewan ballroom. Ia mula dibuka pada 1987 dan terlibat dengan renovasi besar-besaran pada 2005.
Hotel ini saya boleh klasifikasikan antara hotel paling mewah saya pernah inap. Dari menjejakkan kaki ke lobi hotel ini kita disapa dengan senyuman manis penyambut tetamu beserta sekali minuman selamat datang. Proses daftar masuk juga mudah dan kita diiringi dari lobi sehingga ke bilik oleh gadis pekerja hotel. Peranannya? Supaya kita tidak tercari-cari arah mana bilik mungkin? Sampai di bilik segala ciri-ciri yang terdapat di dalam bilik diterangkan satu persatu oleh beliau. Kalau barang dan beg anda banyak tak perlu risau kerana semua akan dibawa oleh pekerja hotel terus ke dalam bilik.
Pandang pertama saya tentang hotel ini sangat wow! Sedari mula melangkah ke lobi, daftar masuk, dan dibawa ke bilik semua dilakukan dengan profesional. Nama saya juga dipaparkan di televisyen di dalam bilik seolah-olah mengalu-alukan kedatangan. Tilam yang empuk, pemandangan yang cantik, kemasan bilik moden tetapi masih menonjolkan ciri-ciri ketimuran oriental dan bilik air yang sangat mewah. Terasa dimanjakan sangat.
Untuk makluman ketika penginapan saya terdapat acara perlumbaan Formula 1 sedang berlangsung di sekitar kawasan hotel. Oleh yang demikian hotel ini menjadi pilihan ramai pengunjung dan mereka-mereka yang bekerja di belakang tabir semasa perlumbaan. Ketika itu saya perhatikan pasukan Ferarri menjadikan Mandarin Oriental sebagai tempat penginapan dan terdapat pelbagai acara seperti penjumpaan kelab pemilik Lamborghini turut diadakan di hotel ini. Terdapat berpuluh Lamborghini yang diletakkan di sekitar kawasan hotel. Oleh kerana terdapat pelbagai acara berprestij berlangsung di Singapura, hotel menjadi sangat mahal. Semakan ringkas ke atas laman web agoda.com mendapati kos penginapan bermula sekitar RM1,800 untuk satu malam!
Selain tilam yang sangat empuk, makanan di hotel ini sangatlah sedap. Untuk sarapan pun kita akan dijamukan dengan pelbagai juadah enak. Sarapan pagi di hotel ini berada di kedudukan Top 3 untuk sarapan yang sedap.
Lima perkara saya suka mengenai hotel ini:
- Lokasi hotel yang sangat strategik dengan banyak tempat menarik di sekitarnya.
- Katil dan tilam yang paling selesa pernah saya tidur.
- Bilik dihias lebih kepada hotel perniagaan tetapi tetap seimbang dengan hiasan moden dan oriental ketimuran.
- Bufet sarapan pagi mewah dan sangat sedap.
- Pekerja yang sangat mesra, daripada penyambut tetamu, pekerja di kolam renang sehinggalah yang bekerja di restoran semuanya baik-baik.
Jika berpeluang berjalan ke Singapura lagi sudah semestinya saya akan berkunjung ke hotel ini semula. Selalunya hotel besar gagal dalam memberikan suasana charming, namun hotel ini mampu mewujudkan rasa itu. Rasa yang membuatkan kita perlu ulang pengalaman ini sekali lagi. Mandarin Oriental, tunggu kami datang!
Tips: Cuba elakkan daripada menginap di hotel ini ketika musim Formula 1 di Singapura kerana banyak jalan yang akan ditutup sebagai persiapan semasa hari perlumbaan. Jika anda memang mahu menonton perlumbaan F1, hotel ini adalah pilihan yang sangat baik kerana jarak yang dekat dengan litar tetapi bersiap-sedialah kerana harganya ketika itu juga berlipat kali ganda.