(Review) Hotel France Eiffel, Paris, Perancis

Paris adalah kota metropolitan yang sangat mahal. Dan sudah menjadi acara wajib buat para pelancong untuk melawati Menara Eiffel apabila berada di Paris. Oleh kerana landmark ini dikenali di seluruh dunia, hotel dan rumah penginapan seperti Airbnb di sekitar Eiffel meletakkan caj premium bergantung kepada lokasi dan jarak dengan Menara Eiffel. Semakin dekat radius hotel atau Airbnb dengan Menara Eiffel, maka semakin mahal caj yang dikenakan.

Secara dasarnya hotel yang berada berdekatan dengan menara besi ini adalah hotel elit seperti Pullman Paris Tour Eiffel, La Clef Tour Eiffel Paris dan Shangri-La Hotel Paris. Hotel ini mengenakan caj sehingga ribuan ringgit untuk penginapan satu malam di premis mereka. Memang di luar kemampuan saya. Untuk mencari hotel atau Airbnb yang murah dan berdekatan dengan Eiffel adalah amat sukar kerana kebanyakkannya awal-awal lagi sudah ditempah.

Semasa merancang untuk persinggahan saya dan isteri ke Paris, saya juga mencari bilik penginapan yang mempunyai pemandangan bangunan ikonik ini di tingkap tetapi malangnya tidak berhasil. Hotel France Eiffel, walaupun pada namanya ada perkataan Eiffel, tetapi jauh panggang dari api. Cuma ia merupakan di antara hotel budget yang masih berdekatan dengan Eiffel iaitu sekitar satu kilometer, kira-kira 13 minit berjalan kaki.

Perkara saya suka mengenai hotel ini:

  1. Jarak yang masih boleh diterima untuk ke Menara Eiffel.

  2. Hotel lama yang charming dan masih menggunakan lif lama.

  3. Jarak ke stesen keretapi Metro masih boleh diterima dengan berjalan kaki.


Perkara saya kurang suka:

  1. Penyambut tetamu tidak bertutur dalam Bahasa Inggeris. Anti betul warga Perancis dengan British sehingga Bahasa Inggeris langsung tidak dituturkan di sini.

  2. Katil kurang selesa dan bilik nampak ketinggalan zaman.

  3. Tiada pemandangan Eiffel di tingkap.

  4. Harga agak mahal untuk hotel tiga bintang. Sekitar RM600 selepas ditukarkna ke Ringgit Malaysia.


Sekiranya bercadang untuk ke kota Paris, buat survey dan kajian awal berkenaan tempat penginapan. Buat tempahan awal jika harga masih berada di dalam budget kerana percayalah, harga minit-minit akhir sangatlah mengarut.

Berbalik kepada hotel ini, sekiranya ia disenaraikan pada harga RM400 ke bawah, ia menjadi pilihan yang berbaloi untuk diinap di Paris.