Pengalaman Menonton Perlawanan Liga Perdana Inggeris Di Old Trafford



MENONTON PERLAWANAN LIGA PERDANA INGGERIS DI OLD TRAFFORD

Sebagai salah seorang peminat bola sepak, saya memasang impian untuk menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris secara langsung sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Iyalah, sekadar untuk merasai pengalaman dan suasana ketika perlawanan diadakan memang menjadi idaman kalbu semua peminat bola sepak yang mana ketika ini kebanyakan daripada kita hanya mampu menonton di kaca televisyen sahaja termasuklah saya.

Jadi ketika masih berkira-kira untuk menjejakkan kaki ke bumi United Kingdom pada 2017, saya telah memasukkan wishlist “menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris" tidak kira apa-apa pasukan sekalipun sebagai pelengkap lawatan saya ke sana. Saya memulakan percarian dengan cara yang paling mudah iaitu dengan menggunakan Google. Saya beranggapan sebagai sebuah negara maju dengan liga bola sepak paling diikuti seluruh dunia dan moden, sudah tentunya pembelian tiket melalui atas talian merupakan fenomena biasa berbanding negara tercinta Malaysia yang masih mengamalkan sistem pembelian tiket melalui kaunter. Tekaan saya tepat. Sebagai peminat pasukan Chelsea, sudah tentunya saya memilih untuk membeli daripada laman web rasmi jualan tiket iaitu https://www.chelseafc.com/tickets-membership/buy-tickets-online.html. Laman rasmi ini lengkap dengan pilihan pembelian tiket secara atas talian. Cantik! Walaubagaimanapun, ia bukan semudah pembelian barang di Lazada ataupun Shopee.

Di sini saya akan terangkan tentang proses pembelian tiket untuk mana-mana pasukan Liga Perdana Inggeris berdasarkan info yang saya perolehi daripada internet. Jika terdapat maklumat yang salah atau kurang tepat, sila betulkan. Kebiasaannya setiap pasukan Liga Perdana Inggeris menjual tiket dalam bentuk pass bermusim. Dengan kata lain seseorang peminat tegar akan membeli pass bermusim di awal musim dan dijanjikan dengan tempat duduk yang tetap untuk setiap perlawanan dalam musim yang dibeli. Kebanyakan peminat di UK akan membeli pass bermusim ini kerana ia memudahkan mereka di samping harga yang ditawarkan adalah lebih rendah jika dibandingkan membeli tiket secara berasingan. Selain daripada pass bermusim, kelab-kelab besar Liga Perdana Inggeris juga mewujudkan sistem keahlian di mana sesiapa yang berdaftar dan menjadi ahli berdaftar diberi keutamaan untuk membeli tiket sesuatu perlawanan. Ianya sesuai untuk peminat yang tahu mereka tidak akan dapat menonton setiap perlawanan dalam satu-satu musim tetapi masih berkeinginan untuk turun ke stadium jika terdapat perlawanan berkelas AA atau A dianjurkan. Jadi bagaimana pula jika peminat yang datang sekali sekala ke UK untuk menonton perlawanan bola sepak kegemaran mereka? Untuk kategori ini boleh diklasifikasikan sebagai bukan ahli.

KEUTAMAAN JUALAN TIKET PERLAWANAN

Sebagaimana diterangkan sebelum ini, tempat duduk setiap perlawanan akan diberi keutamaan kepada pemegang pass bermusim. Sekiranya pemegang tiket pass bermusim tidak dapat hadir menyaksikan perlawanan tertentu, mereka boleh menjual kembali tempat duduk eksklusif mereka kepada kelab. Di sini kelab akan menjadi orang tengah untuk menjual kembali tempat duduk pemegang pass bermusim. Dan ya, tiada ulat tiket terlibat dalam proses ini. Apabila terdapat baki tiket untuk tempat duduk yang tidak terjual, kelab akan membuka jualan kepada ahli berdaftar dahulu dan yang terakhir sekali barulah dibuka kepada bukan ahli. Yang menjadi masalahnya, untuk perlawanan yang melibatkan kelab-kelab big six seperti Chelsea, Manchester United, Manchester City, Liverpool, Arsenal dan Tottenham Hotspur selalunya akan habis terjual semasa di peringkat pass bermusim dan juga ahli lagi. Untuk membeli sebagai bukan ahli mungkin nasib anda baik, atau tempat duduk yang tinggal nun sayup di hujung penjuru sana.

PENTING SEMASA MEMBELI TIKET

Jika kita dapat membeli slot daripada pemegang pass bermusim pada pandangan saya itu adalah yang terbaik. Kenapa? Sebab kebiasaannya pemegang pass bermusim memilih tempat duduk yang paling strategik dan paling berbaloi untuk dibeli. Walaupun pemegang pass bermusim boleh menjual tiket melalui saluran yang betul (melalui kelab), tetapi ramai daripada mereka memilih menjual tempat duduk sendiri kepada kawan-kawan atau saudara-mara. Dalam kes saya, pencarian tiket untuk kelab Chelsea menemui jalan buntu jadi saya terpaksa untuk bersikap terbuka untuk menonton perlawanan lain (nampak sangat lalang). Saya menghubungi kawan saya yang ketika itu seorang penuntut di London dan meminta bantuan beliau untuk mendapatkan tiket dan saya tahu beliau adalah peminat tegar Manchester United!

Melalui rakan saya tersebut, saya berjaya mendapatkan tiket melalui pass bermusim untuk perlawanan di antara Machester United menentang Everton. Okey juga sebab saya memang teringin untuk menjejakkan kaki ke Old Trafford. Bagaimana pula dengan harga? Bincang dengan pemilik pass bermusim supaya kita dapat harga terbaik.

PENGALAMAN MENONTON PERLAWANAN DI OLD TRAFFORD



Perlawanan di antara Machester United menentang Everton diadakan pada 5 April 2017 jam 8.00 malam waktu UK. Sekiranya kita menonton apa-apa perlawanan besar di Malaysia yang bermula jam 8.45 malam, nescaya stadium sudah dibanjiri seawal jam 3.00-4.00 petang lagi. Berbeza di UK kerana walaupun perlawanan bermula 8.00 malam, pukul 7.30 malam saya masih sibuk mengambil gambar di luar stadium dan dapat masuk ke dalam stadium pada jam 7.35 malam! Proses ketika di pintu masuk sangat efisyen tanpa ada sebarang aktiviti tolak-menolak. Orang ramai tetapi sangat teratur.

Dan yang paling penting setiap pass bermusim mempunyai nombor tempat duduk jadi tidak perlu risau tempat diambil orang. Orang Manchester tidak akan ambil tempat duduk kita.

Pengalaman menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di depan adalah sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Jauh lagi seronok, meriah dan suasana yang tiada mana-mana kamera dapat rakam perasaannya macam mana. Saya dapat lihat dengan jelas kelibat Ibrahimovic dan Pogba daripada tempat duduk saya. Saya juga dapat melihat Lukaku yang masih bermain untuk Everton ketika itu. Dan sudah semestinya dapat melihat gerak-geri Jose Mourinho yang sibuk mundar-mandir memberi arahan kepada anak buahnya di Manchester United.

Namun yang paling ketara adalah sorakan peminatnya. Di sekeliling saya adalah peminat tegar kelab yang kebanyakkannya adalah mat saleh. Seronok apabila mendengar penonton bersorak, memberi sokongan, memberi macam-macam komen tentang prestasi pemain dan paling tidak boleh lupa apabila mereka mula menyumpah-seranah jika permainan tidak menarik seperti diharapkan. Tetapi apabila gol dijaringkan, bergema satu stadium Old Trafford dengan sorakan. Memang takkan boleh lupa semua pengalaman ini.



Apabila habis perlawanan apa yang membuatkan saya kagum adalah betapa terurusnya peminat-peminat di sana mengosongkan stadium. Sama seperti semasa masuk ke dalam, proses keluar juga teratur tanpa ada yang berebut-rebut dan berpusu-pusu ketika keluar. Sampah di dalam stadium juga minimum. Senang kerja pekerja pembersihan di sana. Kalau kita mahu membawa pulang cenderahati, megastore Manchester United dibuka sehingga lewat malam supaya kita boleh beli sesuatu sebagai kenangan untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti. Konsep megastore ini mungkin boleh diikuti oleh majoriti kelab dan pasukan di Malaysia kerana ia merupakan salah satu sumber pendapatan kelab yang tinggi selain daripada jualan tiket perlawanan semata-mata. Dah namanya megastore, memang sudah macam pasaraya. Daripada jersi, t-shirt, rantai kunci, topi, mafla, baju kanak-kanak semuanya ada.

BERBALOI KE?

Jika diberi peluang sekali lagi, sudah semestinya ia tidak akan dilepaskan. Mungkin saya perlu giat mencari pemilik pass bermusim Chelsea nanti.