Pengalaman Memandu Nissan GT-R (Fun2Drive) di Pergunungan Fuji di Jepun

Satu kegilaan rakyat Malaysia yang tidak dapat disangkal lagi adalah minat yang terlalu mendalam terhadap kereta. Boleh dikatakan majoriti peminat kereta Malaysia lebih terarah kepada jenama kereta yang berasal daripada negara Jepun berbanding dengan kereta daripada Korea mahupun Eropah. Tengoklah di jalanraya kita berapa banyak kereta daripada jenama Honda, Toyota, Nissan dan Mazda. Sangat banyak! Tetapi yang silapnya ramai beranggapan apabila asalkan namanya kereta Jepun, maka asal lahirnya juga daripada Jepun. Di sinilah persepsi salah itu perlu diubah.

Kebanyakkan kereta Jepun di Malaysia adalah pemasangan tempatan CKD (Complete Knock-Down). Hanya sebahagian kecil model yang datang ke sini diimport sepenuhnya daripada negara matahari terbit berkenaan. Untuk pengetahuan semua, kereta untuk kegunaan pasaran Jepun dikenali sebagai JDM (Japanese Domestic Market) dan status kereta JDM inilah menjadi rebutan oleh kaki-kaki kereta di Malaysia. 

Bagi jenama Nissan, model seperti R32, R33, R34, R35, Silvia dan Fairlady  sangat terkenal di kalangan peminat kereta JDM di Malaysia. Saya sendiri amat meminati satu model ini iaitu Nissan GT-R R35. Ketika ia mula-mula dilancarkan pada tahun 2009, perkataan 'Skyline' disisihkan oleh pihak Nissan dan hanya menamakannya sebagai GT-R sahaja dalam usaha membawa jenama ini ke  peringkat global kerana ketika itu jenama Nissan agak 'struggle' di pasaran luar Jepun tetapi ramai peminat setia masih tetap memanggilnya 'Skyline' atas sebab model ini dilihat pengganti yang layak untuk model R34. 

Dipendekkan cerita semasa kunjungan singkat saya dan keluarga ke Jepun baru-baru ini, saya memulakan pencarian untuk merasai sendiri hype yang telah dibawa oleh kereta ini. Pencarian saya tidak sia-sia kerana saya berjaya memandu sendiri Nissan GT-R R35 di bumi kelahirannya di Jepun!

Perkara utama yang perlu saya buat sebelum dapat memandu di Jepun adalah mendapatkan International Driving Permit (IDP) terlebih dahulu. Cara untuk mendapatkannya mudah sahaja. Pergi ke mana-mana pejabat JPJ di Malaysia dan bawa bersama dua salinan gambar passport dan wang tunai berjumlah RM150.00. IDP anda akan dapat pada hari yang sama dan tempoh sah adalah selama setahun daripada tarikh ianya dikeluarkan.

Berbalik kepada pengalaman memandu GT-R di Jepun, terlebih dahulu saya telah membuat carian secara atas talian untuk mengkaji apakah cara dan bagaimana untuk merasai pengalaman ini dengan risiko paling minimum dan semestinya selamat. Setelah dikaji, saya dapati salah-satu pengalaman pemanduan (driving experience) yang mendapat review lima bintang di TripAdvisor dan Google adalah fun2drive.

Fun2drive merupakan perkhidmatan pengalaman pemanduan yang disediakan oleh pemiliknya yang juga seorang kaki kereta warga Jepun sejak tujuh tahun yang lepas untuk menyajikan pengalaman pemanduan di jalan-jalan ikonik di Jepun. Apa yang disajikan oleh fun2drive sangat unik kerana kebanyakkan kereta yang ditawarkan memang kita di Malaysia sangat familiar. Kalau anda peminat anime InitialD memang akan kenal dengan model seperti Toyota AE86 Trueno, Subaru Impreza WRX Type R STi, Mazda RX-7 FD3S, Honda S2000, Nissan GT-R R32, Nissan GT-R R33 dan Nissan GT-R R34. Kereta JDM lain yang boleh anda pilih adalah Nissan Z Car S30Z, Nissan GT-R R35, Honda NSX, Toyota Supra, dan Mitsubishi Evolution VI. Terdapat juga kereta bukan JDM seperti Ferrari F355, Lamborghini Gallardo, Porsche 911 dan juga Lotus.

Saya telah membuat tempahan awal melalui atas talian untuk memilih jenis kereta yang saya mahu dan pakej apa yang bersesuaian dengan bajet dan kekosongan slot. Perlu diingatkan kereta popular sudah semestinya ditempah awal jadi sila pastikan bertindak segera jika tidak mahu menyesal di kemudian hari. Harga juga bergantung kepada jenis kereta dan jenis pakej yang dipilih.

Untuk makluman, Nissan GT-R R35 adalah di antara kereta JDM yang termahal di dalam senarai kereta yang ditawarkan oleh fun2drive. Pakej yang saya pilih beharga sekitar 39,980 yen dan itu merupakan kadar asas sahaja. Kos daftar keahlian, reduction of deductible, additional driver, sewa child car seat, tol dan minyak semua perlu ditanggung oleh penyewa. Sekiranya berlaku kemalangan (pernah terjadi dengan bukti-bukti bergambar yang disimpan rapi pemilik sebagai peringatan) memang buat kita jadi seram untuk pandu kereta ini laju di jalanan. Kos yang perlu ditanggung jikalau berlaku kemalangan boleh buat saya pitam dan jadi buruh paksa di Jepun sementara nak selesaikan bayaran. 400,000 yen atau lebih kurang dalam RM 15,000.00 dan harus diingat insurans perjalanan yang kita beli di Malaysia TIDAK AKAN menanggung kos ini. Jadi sentiasa berhati-hati dan jangan leka!

Lokasi ibu pejabat bagi pengalaman pemanduan ini adalah di Kanagawa Prefecture atau lebih tepat di The fun2drive Owners' Club 株式会社 1143 Sengokuhara, Hakone-machi, Ashigarashimo-gun, kira-kira satu jam setengah dengan kereta atau dua jam perjalanan menggunakan bas ekspres dari Shinjuku JR Station South Gate. Ada banyak pilihan jika bergerak daripada Tokyo sama ada boleh pandu kereta sewa sendiri, bas henti-henti ataupun dengan keretapi laju Shinkansen, tetapi cara paling mudah bagi kami adalah dengan menggunakan bas ekspres. Bas akan berhenti betul-betul di hadapan The fun2drive Owners’ Club. Kos pula sekitar 1,900 yen sehala untuk dewasa dan percuma untuk kanak-kanak sekiranya setakat duduk di atas riba. Agak mahal sebenarnya tetapi jika anda ada perancangan untuk bermalam sekurang-kurangnya satu malam di sekitar Hakone atau Gotemba pun tiada masalah sebab terdapat banyak hotel dan tempat yang boleh dilawati ditambah pula dengan pemandangan Gunung Fuji yang sangat majestik. Di Gotemba juga ada Gotemba Premium Outlet bagi mereka yang menggemari barangan berjenama.

Untuk pengalaman pemanduan fun2drive, kami memilih pakej “Short term cruising on the foot of Mt Fuji - Holy Mt. Fuji Drive”. Laluannya pula melalui Fuji Speedway, Mikuni & Myojin Touge, Tasik Yamanaka dan Shino Hakkai. Pengalaman memandu di laluan touge di Jepun sememangnya sangat mengujakan! Seronok, gembira, teruja, semua ada. Jika di Malaysia umpama memandu di laluan Genting Sempah dengan bertemankan kereta yang sangat brutal dan berkuasa. Anda wajib rasai sendiri pengalaman ini! Walaupun cuaca agak berkabus yang sedikit membataskan jarak penglihatan namun keterujaan membelah kedinginan jalanan di kaki gunung dengan kereta super mengatasi segalanya. Boleh dikatakan sepanjang pemanduan ini, saya tersenyum gembira sahaja terutama sekali apabila pedal minyak ditekan. Sungguhpun demikian, saya berasa sedikit ralat kerana sepatutnya sepanjang pemanduan diiringi dengan pemandangan cantik Gunung Fuji tetapi disebabkan cuaca berkabus dan hujan renyai, semua itu jadi kenangan sahajalah. Sedih juga tetapi mungkin itu petanda supaya kami perlu datang lagi sekali ke sini di masa akan datang.

Sedikit tips, pastikan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling kerana harus diingat ini merupakan pemanduan di jalan awam, jadi lubang dan bonggol tetap ada dan pastikan memandu betul-betul di tengah laluan jalan kerana jalan di sini agak sempit dan kita akan banyak berselisih dengan lori dan bas. Oleh kerana kita bergerak di dalam konvoi, pastikan kita mengikut rapat kereta di hadapan semasa bergerak di kawasan sesak seperti kawasan pekan dan kawasan yang banyak lampu isyarat. Namun apabila ada ruang yang cukup, bina jarak dengan kereta di hadapan dan tekan pedal minyak untuk memecut jika berkesempatan. Rasai sendiri deruman enjin dan tackle setiap selekoh dengan penuh yakin kerana GT-R mampu mengawalnya dengan baik.  Pemanduan kereta ini sangat tepat, muncung yang mengikut sahaja ke mana arah dituju. Stereng juga dalam berat yang saya suka, sesuai untuk memacunya apabila melayani selekoh. Agak melompat apabila dipandu perlahan tetapi siapa yang akan memandu perlahan kereta ini? Sememangnya GT-R R35 adalah kereta super yang betul-betul layak menerima status kereta 'Godzilla' Jepun.

Berbaloikah? Tiada apa yang saya mahu pertikaikan mengenai pengalaman pemanduan fun2drive kerana apa yang diberikan sangat bernilai. Saya dan isteri dalam berkira-kira untuk  datang sekali lagi ke Jepun dan menikmati pengalaman pemanduan kereta JDM yang lain pula! Mungkin NSX, R34 atau R35 sekali lagi? Siapa tahu.