Review Hotel St Giles Wembley, Penang

Hotel St Giles Wembley yang terletak di tengah-tengah bandar Georgetown merupakan hotel bertaraf 4 bintang yang terletak di Pulau Pinang. Terletak berhampiran dengan mercu tanda Pulau Pinang iaitu bangunan Komtar, hotel ini telah dibuka sekitar April 2015.


Tidak sukar untuk mengenalpasti hotel ini daripada jauh kerana struktur binaan luarannya yang unik. Ianya terletak betul-betul berhadapan dengan pusat membeli-belah 1st Avenue dan hotel ini berkongsi bangunan yang sama dengan Hotel Cititel Express.


Ruang letak kereta mampu memuatkan bilangan kenderaan yang banyak dan keadaan ruang letak kereta itu sendiri adalah teratur dan terang. Bayaran letak kereta adalah percuma untuk pengunjung hotel.


Kedatangan kami disambut mesra oleh petugas hotel dan proses check-in dilakukan dengan pantas & profesional. Farhan juga tak kurang seronoknya apabila diberikan lollipop oleh salah seorang petugas hotel :) Selain daripada itu, terdapat juga jus buah-buahan dan popcorn disediakan di ruang menunggu lobi hotel.


Hotel St Giles Wembley, Pulau Pinang


Selesai proses check-in, kami menuju ke bilik kami yang terletak di tingkat 21 iaitu aras tertinggi untuk pilihan bilik tidak merokok. Ketika menempah di Agoda, memang ada kami letakkan permintaan untuk tingkat yang tinggi dan bilik menghadap pemandangan di hadapan. Hasilnya, pemandangan dari bilik kami ialah bangunan Komtar yang betul-betul berada di hadapan mata kami :D


st-giles-wembley-03


Kami memilih bilik Deluxe yang disertakan dengan pakej sarapan. Anggaran harga untuk semalam adalah lebih kurang RM300+ bergantung kepada promosi yang berlangsung. Pada waktu itu, kami mendapat diskaun 5% kerana menjadi pelanggan Digi.


Dua kad akses diberikan kepada tetamu hotel. Ianya sangat berguna apabila situasi yang memerlukan kami untuk keluar daripada bilik hotel dan masih ingin memastikan penghawa dingin dibuka. Jadi tak perlulah untuk masukkan kad lain sebagai ganti seperti yang biasa kita lakukan. Hihi


st-giles-wembley-04


Suasana dalam bilik hotel sangat cantik & nampak elegan. Permaidani bercorak moden diletakkan di seluruh ruang bilik (kecuali di bahagian pintu masuk berdekatan tandas). Di kepala katil juga terdapat hiasan bermotifkan corak batik yang mencerminkan identiti Malaysia.


Plus point yang unik untuk Hotel St Giles Wembley ini ialah sejadah disediakan untuk setiap bilik dan diletakkan dengan kemas di dalam penyangkut baju bertutup serta dilabelkan. Selain daripada itu, terdapat juga peti simpanan disediakan dalam setiap bilik.


st-giles-wembley-01


st-giles-wembley-00


st-giles-wembley-07


Bagi ruang tandas pula, dengan harga yang dibayar kami mengharapkan bilik air yang mempunyai tab mandi namun hanya terdapat pancuran hujan sahaja disediakan. Walaubagaimanapun, kesemua peralatan masih dalam keadaan baru dan kebersihan tandas adalah sangat memuaskan. Kolam renang infiniti & gim terletak di tingkat 14 hotel. Kemudahan gim dibuka untuk para tetamu hotel daripada 6 pagi hingga 8 malam.


st-giles-wembley-05


st-giles-wembley-06


Keesokan harinya, kami bersarapan secara buffet di Wembley Cafe. Sebelum menempah hotel ini di Agoda, saya telah membaca review dan ramai yang memberi respon positif dengan hidangan buffet di sini. Oleh kerana itu kami memilih pilihan bilik hotel berserta sarapan dan ternyata pilihan tersebut tidak silap!


Terdapat pelbagai pilihan hidangan yang disediakan seperti masakan Melayu, Cina, India, Jepun dan tak ketinggalan masakan Barat. Antara yang menjadi kegemaran kami pada hari itu ialah Ayam Pandan dan Mee Goreng. Selain daripada itu, terdapat juga mesin membuat kopi di mana anda boleh memilih sendiri daripada pilihan Latte, Mocha dan pelbagai lagi. Bukan semua hotel menyediakan kemudahan seperti itu.


st-giles-wembley-08


Secara keseluruhannya, kami teramat berpuas hati sepanjang tempoh penginapan di Hotel St Giles Wembley. Keadaan hotel yang masih baru, kemudahan yang serba moden serta yang paling utama ialah kepelbagaian hidangan di Wembley Cafe, Hotel St Giles Wembley menyebabkan kami tidak teragak-agak untuk berkunjung lagi ke hotel ini di masa akan datang.