Memandu Maserati di London dengan GT Rush - London Driving Experience

Terdapat sesuatu yang peminat automotif perlu tahu wujud di bumi London iaitu pengalaman pemanduan (driving experience). Apa itu pengalaman pemanduan? United Kingdom secara umumnya memiliki ramai peminat kereta dan kegilaan terhadap kereta super sama sahaja seperti kita di Malaysia. Tetapi oleh kerana harga pemilikan untuk kereta super adalah sangat tinggi, di situlah wujudnya pengalaman pemanduan seperti ini di bumi UK. Secara umumnya, pengalaman pemanduan ini disasarkan kepada rakyat marhaen untuk merasai pengalaman memandu kereta super sama ada di litar ataupun di jalanan. Terdapat banyak pengendali yang menyediakan servis sebegini di serata UK dan terdapat pelbagai jenis kereta seperti Ferrari, Lamborghini, Porsche, Jaguar dan Nissan GT-R yang boleh dipilih oleh kita. Menarik bukan?


Semasa di UK, saya telah memilih untuk merasai pengalaman pemanduan di dalam kota London yang secara eksklusif dibawakan oleh seorang jejaka mat saleh bernama Jamie yang juga adalah pemilik kepada GT Rush - London Driving Experience. Sebenarnya perkhidmatan yang ditawarkan umpama kereta sewa sahaja tetapi harus diingat kereta yang disewa adalah kereta yang mahal harganya jadi caj sewaan bergantung kepada tempoh yang kita pilih bermula dari 30 minit sehingga ke dua jam.


[caption id="attachment_1098" align="aligncenter" width="500"]Memandu Maserati di London (GT Rush) Wefie bersama Jamie, pemilik GT Rush - London Driving Experience[/caption]


Apakah kereta yang ditawarkan? Buat masa sekarang hanya sebuah kereta iaitu 4.7l V8 Maserati GranCabrio Convertible dan kereta ini diberi nama Harry oleh pemiliknya. Kereta super Itali ini memang sangat cantik dengan kemasan dalaman dibaluti kulit bewarna merah dan luaran berwarna putih dan perak. Nampak mewah dan laju! Kereta ini juga adalah jenis soft top (bumbung fabrik) yang boleh dibuka. Jamie ada bertanyakan sama ada saya mahu bumbung tertutup atau dibuka semasa pemanduan dan sudah semestinya saya memilih supaya bumbung dibuka. Barulah feel kereta convertible!


Maserati ini adalah jenis convertible dua pintu dengan empat tempat duduk dan kita boleh membawa dua orang lagi rakan bersama tanpa ada kos tambahan. Isteri saya duduk di belakang dan beliau memberi komen yang ruang kaki di belakang sangat luas tidak seperti Satria Neo yang saya pernah miliki semasa bujang dahulu yang mana ruang di belakang adalah agak sempit. Oleh kerana enjin kereta ini adalah sebesar 4.7l (paling tinggi saya pernah pandu), maka saya terasa sedikit gugup untuk memulakan pemanduan. Iyalah, risau kereta 'melompat' tatkala pedal minyak dipijak tetapi sangkaan saya meleset sama sekali. Maserati ini sangat civilized dan mudah dipandu dengan kelajuan rendah berbeza dengan karakter Nissan GT-R yang saya pandu di Jepun.


Kena dengan namanya, pengalaman pemanduan Maserati di London lebih kepada pemanduan santai disebabkan faktor trafik kota London yang sepanjang masa sesak dan kurangnya laluan berliku yang mencabar. Boleh dikatakan baru sahaja saya memecut ketika lampu isyarat hijau dan ketika speedometer mahu mencecah ke angka 100km/j, saya terpaksa menekan pedal brek kerana terdapat lampu isyarat merah menyala di hadapan.


Memandu Maserati di London (GT Rush)


Oleh kerana Jamie sentiasa berada di sebelah kita di sepanjang pemanduan, kita tidak perlu risau tentang laluan perjalanan dan beliau sangat arif tentang keadaan trafik di London. Jamie juga akan membawa kita ke jalan kosong dan kurang trafik supaya setidak-tidaknya dapatlah juga merasai sedikit kuasa enjin 4.7l kereta ini.


Realistiknya caj yang dikenakan untuk pengalaman pemanduan di London adalah agak tinggi dan pengalaman pemanduan yang ditawarkan juga terbatas. Ditambah pula dengan kehadiran pemilik kereta di sebelah, sudah pastinya kita tidak boleh sedikit 'nakal' untuk menekan pedal minyak sesuka hati dan terasa seperti senantiasa diperhatikan. Walaubagaimanapun, jika diberi kesempatan untuk menggunakan servis GT Rush - London Driving Experience lagi di lain masa, saya akan memilih laluan menghala ke kawasan desa dengan jalan yang lebih berliku kerana setidaknya laluannya lebih kosong berbanding di dalam kota London.