Honda BR-V
SUV kompak tujuh tempat duduk dengan harga bawah RM 100 ribu? Why not!
Terlebih dahulu ini adalah pandang pertama seorang layman (orang kebanyakan) untuk setiap kereta yang dipandu uji. Saya tidak akan mengulas mengenai spesifikasi teknikal, jumlah tork tersedia mahupun keligatan kereta memecut dari pegun ke 100km per jam di dalam pandang pertama ini, cuma lebih memberi penekanan terhadap soalan-soalan biasa yang diajukan oleh layman (orang kebanyakan) terhadap sesebuah kereta yang baru dilancarkan di pasaran Malaysia sebagai rujukan asas untuk bakal pembeli di luar sana. Jadi apakah persoalan yang biasa diajukan oleh layman macam saya?
Siapa yang sesuai membelinya? Target market?
1. Mereka yang mempunyai 2-3 orang anak dan kerap pulang ke kampung pada hujung minggu. Sangat sesuai untuk membawa emak dan ayah keluar berjalan-jalan di pekan atau berkelah di tepi pantai.
2. Suri rumah yang menghantar anak-anak ke sekolah termasuklah anak-anak jiran.
3. Mereka yang selalu mengajak lima atau enam orang rakan sepejabat makan tengahari bersama-sama.
4. Mereka yang aktif berbasikal (boleh memuatkan basikal saiz penuh tanpa perlu mencabut tayar hadapan basikal).
Cukup power tak?
Enjin 1.5 liter memang agak kecil untuk sebuah SUV kompak tujuh tempat duduk tetapi ia mampu berkhidmat dengan jayanya! Sedikit under power dengan muatan penuh, tetapi masih memadai. Saiz enjin sama yang digunakan oleh Toyota, Perodua dan Proton (Suzuki) untuk menjana MPV entry-level mereka.
Mana lagi okay? Alza, Ertiga, Avanza atau Sienta?
Yang lain semua MPV kompak, BR-V pula adalah sebuah SUV kompak. Lain kategori. 😁
Praktikal tak?
1. Tempat duduk baris ketiga adalah memuaskan. Jika memuatkan dua orang dewasa pun masih selesa. (Kedudukan lutut sedikit ke atas disebabkan lantai yang tinggi tetapi masih boleh diterima)
2. Akses ke baris ketiga masih mudah dengan kerusi baris kedua boleh dilipat penuh dengan satu sentuhan tuil. Perlu diingat pintu belakang adalah jenis bukaan tradisional di mana memberi kesan kepada rekabentuk pillar C yang lebih condong sekaligus meminimakan bukaan pintu.
3. Dilengkapi Isofix. Car seat dengan fungsi isofix mudah dipasang tanpa masalah. Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan meletakkan anak anda di dalam car seat, bukannya diletakkan di riba.
4. Boleh membawa pasu bunga sekali dengan pokoknya. Ya ini serius! Brilliant packaging from Honda.
Macam mana dengan harga?
Susah untuk menjawab soalan berkenaan. Bergantung kepada berapa besar dan dalam poket anda sebenarnya. Harga termasuk insuran hampir mencecah RM 100 ribu bermakna bulanan sekitar RM 1xxx jika anda membuat pinjaman bank selama sembilan tahun dengan bayaran wang pendahuluan 10%. Walaubagaimanapun BR-V masih dikira sebagai kenderaan entry-level walaupun dengan harga berkenaan. Jadi buang bayangan yang kereta ini setaraf Odyssey mahupun Alphard. Buang jauh-jauh.
Lain-lain komen?
1. BR-V adalah kenderaan yang tinggi. Tiada masalah untuk meredah banjir dan tidak perlu risau dengan mana-mana bonggol yang wujud di Malaysia.
2. Rekabentuk luaran yang pada pandangan saya, biasa-biasa. Bukan hodoh, cuma biasa-biasa sahaja.
3. Susun atur dalaman juga sangat asas dan penuh dengan elemen plastik keras. Tiada rasa 'premium'.
Toyota Sienta
Siapakah yang sesuai membelinya?
1. Mereka yang mempunyai 2-3 orang anak dan kerap pulang ke kampung pada hujung minggu. Sangat sesuai untuk membawa emak dan ayah keluar berjalan-jalan di pekan atau berkelah di tepi pantai.
2. Suri rumah yang menghantar anak-anak ke sekolah termasuklah anak-anak jiran.
3. Mereka yang selalu mengajak lima atau enam orang rakan sepejabat makan tengahari bersama-sama.
4. Mereka yang aktif berbasikal (boleh memuatkan basikal saiz penuh tanpa perlu mencabut tayar hadapan basikal).
5. (Ulasan di atas sama macam Honda BR-V. 😅)
Cukup power tak?
Enjin 1.5 liter agak mengaum apabila pedal minyak ditekan dengan segera. Karektor biasa enjin kecil yang dipacu kotak gear CVT. Saiz enjin sama yang digunakan oleh Perodua dan Proton (Suzuki) untuk menjana MPV entry-level mereka dan SUV entry-level Honda.
Mana lagi okay? Alza, Ertiga, Avanza atau BR-V?
1. Saya skeptikal pada awalnya, namun agak kagum dengan keseluruhan pakej Toyota Sienta. Boleh tahan! Antara yang terbaik untuk MPV kompak.
Praktikal tak?
1. Tempat duduk baris ketiga adalah sangat memuaskan. Dua orang dewasa pun masih selesa dan kedudukan kaki jauh lebih lega berbanding BR-V.
2. Akses ke baris ketiga sangat mudah dengan kerusi baris kedua boleh dilipat penuh dengan satu sentuhan tuil. Satu plus point untuk model Sienta adalah kewujudan dua pintu gelongsor automatik di belakang. Tersangatlah praktikalnya.
3. Kerusi baris ketiga boleh disorok ke bawah kerusi baris kedua apabila tidak digunakan. Hasilnya, ruang but yang sangat luas! Excellente!
4. Dilengkapi Isofix. Car seat dengan fungsi isofix mudah dipasang tanpa masalah.
5. Boleh bawa pasu bunga sekali dengan pokoknya. Yang ini sama macam packaging Honda. Brilliante!
Mahal tak?
7. Harganya masih di bawah RM 100 ribu tidak jauh berbeza dengan harga Honda BR-V. Anda akan rasa harga yang ditawarkan jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan keluaran Proton atau Perodua namun Toyota Sienta berada di kelas tersendiri untuk rasa 'premium'.
Lain-lain komen?
Tidak syak lagi Sienta adalah abang yang jauh superior berbanding adiknya Avanza. Setiap ciri adalah lebih baik jauh mengatasi bukan sahaja Avanza, tetapi model-model MPV jenama lain. Namun yang demikian, rekabentuk luaran agak futuristik jauh ke masa hadapan. Tak semua orang akan suka.
Kesimpulannya pula?
Adakah anda masih berkira-kira untuk memilih di antara dua kereta ini atau tidak? Jika anda sudah memiliki dua tiga orang askar yang lasak dan sedan/hatchback anda tiada ruang untuk mereka, maka kedua-dua kenderaan yang diulas pada pandang pertama ini adalah pilihan terbaik untuk anda upgrade. Jika anda risaukan tentang saiz, tak perlu khuatir ia masih kompak untuk dibawa di bandar dan tiada masalah untuk diparkir. Yang mana satu terbaik? Itu anda sendiri yang tentukan. Paling utama, kaji keperluan sebenar anda dan semak sama ada ia bersesuaian dengan anda atau tidak. Apa lagi, pergilah pandu uji segera di bilik pameran Honda dan Toyota yang berdekatan sekarang juga!